Bijak menguruskan masa, Sissy mahu pastikan apa diaturkan untuk mengejar impiannya sebagai penyanyi dan pencipta lagu disegani suatu masa nanti menjadi kenyataan.
“Mungkin perjalanan seni saya tak selancar orang lain, tapi saya bersyukur kerana berpeluang belajar pelbagai perkara dalam usaha menempatkan diri dalam bidang seni.
“Walaupun agak terikat dengan masa yang perlu dibahagi antara kerjaya dan belajar, saya tak pernah jadikan itu sebagai alasan,” katanya.  

Sissy kini menghabiskan tahun terakhir di Institut Pendidikan Guru (IPG) Ilmu Khas dalam jurusan Pendidikan Muzik.
Bakal muncul dengan single terbarunya tidak lama lagi, Sissy cuba sentiasa tampilkan kelainan dalam setiap karyanya.
“Alhamdulillah, lagu-lagu saya diperkenalkan sebelum ini dapat respons baik daripada peminat. Jadi semestinya saya mahu kekalkan momentum ini.


“Biarpun trend dalam pasaran hari ini lebih cenderung muzik aliran 1990-an, tapi saya tak pernah jadikan ia sebagai halangan untuk terus tampil  identiti muzik sendiri kerana kepelbagaian selalunya beri banyak kelebihan,” katanya yang bernaung di bawah syarikat rakaman FMC sejak empat tahun lalu.


Tidak hanya aktif sebagai penyanyi, Sissy juga dikenali sebagai pencipta lagu yang berbakat dan ia dibuktikan menerusi beberapa karyanya seperti Mungkin Kamu, Hidup, Keliru dan banyak lagi.


“Muzik minat saya paling atas, justeru saya mahu guna sepenuhnya peluang yang ada untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan semua orang selain turut menyumbang sesuatu untuk industri.
“Masa lapang saya memang banyak terisi dengan aktiviti berkaitan muzik terutama menulis lagu. Saya suka cari idea baru untuk diketengah baik untuk diri sendiri mahupun untuk orang lain.


“Meskipun menulis lagu sendiri mampu beri kepuasan, saya juga sentiasa terbuka terima atau nyanyikan lagu daripada komposer lain asalkan ia selari dengan konsep muzik yang saya bawa,” ujarnya yang kini mempunyai lebih 30 lagu ciptaan sendiri.
Dalam perkembangan lain, Sissy mula berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan dan kini sedang hangat dengan program kendaliannya, Joox Singgah Sat! yang boleh ditonton setiap Khamis, jam 9 malam menerusi aplikasi Joox.


Pengalaman puasa di Korea

Menyentuh bulan puasa yang kini memasuki hari ketiga, kata Sissy, aktiviti seninya berjalan seperti biasa cuma sepanjang Ramadan ini dia banyak luang masa bersama keluarga.
“Sudah jadi kebiasaan kami sekeluarga sejak dulu lagi sama-sama berbuka di rumah sepanjang bulan puasa  dan hanya berbuka di luar apabila ada keperluan saja.
“Sibuk macam mana sekalipun, kami tetap akan lari balik berbuka puasa di rumah. Memang sudah dididik begitu sejak dari kecil lagi, tapi selepas bergelar artis rutin itu sedikit berubah apabila saya perlu memenuhi undangan berbuka puasa di luar.


“Berbuka puasa bersama keluarga tentu lebih menyeronokkan, apatah lagi dapat menjamah juadah dimasak bonda sendiri dan selepas itu dapat solat Terawih bersama,” ujarnya jujur.
Bagaimanapun menurut Sissy, pada tahun lalu dia melalui pengalaman pertama berpuasa di luar negara apabila berada di Korea selama enam hari bersama rakan-rakannya.


“Itu kali pertama saya berpuasa di luar negara dan jauh daripada keluarga membuatkan pengalaman berpuasa ketika itu menjadi sangat berbeza buat kami semua.
“Di sana kami terasa seperti berpuasa dalam satu tempoh masa panjang dengan keadaan cuaca yang sangat menguji keadaan sepanjang berada di sana.
“Apa pun, Alhamdulillah kami dapat berpuasa penuh sepanjang enam hari berada di sana tanpa sebarang masalah,” ujar Sissy.


Credit : Wawan (LINK: http://www.sinarharian.com.my/hiburan/sissy-imann-yakin-identiti-muzik-pilihannya-1.681526)